Setiap jenis kandang kambing atas tanah mempunyai kekurangan dan kelebihan tersendiri. Kandang kambing dibina bertujuan asal untuk menyediakan kediaman yang selesa didiami oleh ternakan.
Struktur binaan kandang ini juga perlulah menitikberatkan kemudahan untuk kerja-kerja pengurusan harian ternakan.
Pada artikel kali ini, saya akan kongsikan ciri-ciri kandang kambing atas tanah yang sesuai dibina oleh penternak di negara ini. Ianya melibatkan faktor susun atur, atap, lantai kandang, lantai bumi, tangga, dan juga pemagaran kawasan ternakan.
Faktor-faktor ini penting bagi memastikan kandang yang bakal dibina nanti menepati ciri-ciri perumah yang baik.
Susun Atur Kandang Kambing.
Kandang kambing atas tanah yang mahu dibina perlulah bertentangan dengan arah pergerakan matahari. Ianya bagi memastikan cahaya matahari dapat memasuki di ruangan kandang.
Kesannya, kelembapan di dalam kandang akan berada di paras rendah dan menjadikan ruangan dalam perumah ternakan sentiasa kering.
Jika anda berhasrat untuk membina dua buah kandang kambing atas tanah, sila pastikan jarak minima di antara kedua-dua buah ini sekurang-kurangnya 30 kaki.
Ianya bagi memastikan pengudaraan kandang dalam keadaan baik dan juga mengurangkan risiko perpindahan penyakit berjangkit dari satu kandang ke kandang yang lain.
Atap Kandang Kambing.
Tujuan utama atap diletakkan adalah sebagai pelindung ternakan daripada hujan dan panas terik matahari. Terdapat pelbagai jenis atap yang terdapat dipasaran sekarang seperti zink, asbestos dan aluminium.
Sebagai penternak yang baru hendak bermula, pemilihan atap ini perlu diambil kira kerana sudah tentu sebolehnya anda mahukan atap yang murah bukan?
Murah tetapi berfungsi sebagai pelindung haba yang baik. Dalam soal pembinaan, jarak umbun atap dengan lantai kandang kambing haruslah berjarak dalam 12 kaki. Manakala jarak di antara bucu atap dengan lantai pula ialah 8 kaki.
Penggunaan atap tembus cahaya (translucent) juga boleh digunakan dalam pemasangan atap kandang ternakan. Ianya bertujuan bagi memberikan pencahayaan secara semula jadi ke dalam kandang ternakan.
Lantai Kandang.
Lantai kandang perlulah dibina menggunakan bahan yang bersifat tidak mudah rosak, tidak mudah melekit dan cepat kering. Kebiasaannya, penternak menggunakan lantai kayu sebagai lantai kandang ternakan mereka.
Pemasangan lantai perlu mempunyai ruang di antara kayu sebanyak 1 hingga 1.5cm bagi memastikan tinja kambing dapat jatuh ke bawah.
Jarak di antara lantai kandang dengan lantai bumi perlulah dalam lingkungan 5 kaki sehingga 6 kaki. Jangan bina lantai kandang kambing terlalu rendah.
Kesannya lantai yang terlalu rendah akan menyebabkan kambing mudah untuk mendapat masalah kesihatan seperti mata berair, batuk dan sukar bernafas.
Ianya disebabkan daripada pencemaran tinja yang berada di bawah kandang ternakan. Selain itu, jarak yang tinggi juga dapat memastikan kerja-kerja pembersihan tinja yang dilakukan oleh pekerja menjadi mudah.
Lantai Bumi.
Lantai bumi ini direka bagi memastikan kerja-kerja pengumpulan tinja menjadi lebih mudah. Ianya direka menggunakan simen dan mempunyai kecerunan dua darjah.
Dengan cerunan ini, tinja akan mudah dikumpulkan dibahagian hujung kandang kambing kerana dibantu oleh perbezaan tarikan graviti.
Selain itu, tinja yang dikumpul juga terjamin lebih kualiti kerana lantai simen boleh mengelakkan tinja daripada melekat dengan tanah atau pasir.
Tangga Kandang.
Kebanyakkan tangga kandang kambing yang dibina oleh penternak diperbuat daripada kayu. Ada juga penternak membina tangga jenis konkrit kasar dan kesat pada kandang ternakan mereka.
Ianya untuk mengurangkan masalah kuku panjang yang sering berlaku pada kambing. Pergeseran di antara kuku kambing dengan tangga konkrit ini secara tidak langsung akan mengurangkan masalah ini.
Artikel berkaitan: Cara Ternak Kambing Paling Mudah Pada Tahun Ini
Pemagaran Kawasan.
Kawasan sekitar kandang kambing atas tanah perlulah dipagari bagi mengelakkan berlakunya kehilangan ternakan. Ada dua faktor berlakunya kehilangan ternakan ini, iaitu berpunca daripada kecurian dan ternakan yang melompat keluar daripada kawasan ternakan.
Selain itu, pemagaran kawasan juga berfungsi bagi mengelakkan agen yang berpotensi membawa penyakit daripada memasuki kawasan kandang ternakan ini.
Bagi memagar kawasan kandang kambing, tiang pagar perlulah didirikan terlebih dahulu. Kebiasaannya, penternak akan menggunakan tiga jenis tiang pagar iaitu tiang pagar jenis besi galvani, angle iron ataupun kayu.
Panjang tiang yang disyorkan ialah tujuh kaki panjang. Tiang perlu ditanam sedalam dua kaki di dalam tanah dan meninggalkan lima kaki lagi dipermukaan. Jadi tinggi pagar yang bakal dibina nanti adalah lima kaki tinggi, di mana jarak di antara tiang ialah 10 kaki.
Itulah serba sedikit faktor yang perlu diambil kira dalam membina kandang ternakan atas tanah. Kandang yang baik boleh memastikan ternakan membesar dengan baik. Tapi sebagai pemula dalam dunia penternakan, jangan gunakan modal terlalu banyak dalam membina kandang.
Kandang Cantik, Tapi Tiada Kambing.
Teringat saya dengan kisah salah satu rakan penternak, di mana dia terlalu teruja untuk menternak kambing. Tapi sayang kerana tiada seekor kambing pun yang kelihatan di dalam kandangnya. Saya bertanya kenapa tiada kambing.
Jawabnya semua modal sudah habis untuk membina kandang ternakan. Kena tunggu kumpul modal untuk membeli baka kambing pula katanya. Itulah, kandang sudah cantik tapi sayang tiada kambing.
Sekiranya anda ingin mempelajari lagi mendalam dalam dunia penternakan kambing, saya amat syorkan anda untuk membaca pengalaman seorang penternak kambing ini. Iaitu, Farid Sulaiman.
Boleh klik butang di bawah ini jika ingin membaca pengalaman beliau dalam membina kandang kambing dan juga penternakan kambing.
Tahniah Tuan. Usaha yang baik. Halalkan ilmu.
Semoga ramai yang dapat manfaat.
assalam tuan. jika kandang hendak dibina diatas tanah sekitar rumah kampung, ikut pendapat tuan, berapa jarak sesuai antara kandang dan rumah?
Terima kasih atas pencerahan yang jelas dan mudah difahami
Terima kasih tuan ada infomasi berguna ini.
Sama-sama tuan.
Panduan yang sangat baik dalam usaha permulaan menceburi bidang ternakan ruminan. Terima kasih
Sama-sama tuan.
Tumpang tanya, berapa size kandang dekat gambar yang atas sekali tu ye tuan?
24 kaki x 14 kaki