Modal Ternak Kambing Untuk Penternak Baru Bermula

Ramai yang bertanya kepada saya tentang berapa modal ternak kambing yang sebenar. Jadi untuk menjawab persoalan itu, beberapa faktor yang akan menentukan berapakah modal ternak kambing yang perlu anda sediakan.

Modal ternak kambing terbahagi kepada dua bahagian. Bahagian pertama adalah kos permulaan. Kos permulaan ini melibatkan baka, kandang, pagar, utiliti (air & elektrik).

Manakala bahagia kedua pula kos operasi. Kos operasi melibatkan makanan asasi, makanan tambahan, ubat-ubatan, racun serangga, doktor.

Modal membina kandang bergantung kepada berapa ramai kambing anda ingin ternak pada permulaan. Sekiranya modal anda terhad, saya amat syorkan anda untuk bermula dengan sepasang kambing jantan dan betina.

Kos menyediakan kandang kambing ini sekitar RM2,000. Tapi kos ini dapat dikurangkan lagi sekiranya anda menggunakan kayu-kayu terpakai.

Antara kayu-kayu terpakai boleh anda peroleh adalah di kawasan pembinaan, rumah-rumah lama yang dirobohkan.

Jangan terlalu teruja untuk menternak kambing sehingga modal habis digunakan dalam membina kandang. Anda perlu tahu, kandang hanya berfungsi untuk memberi tempat perlindungan kepada kambing daripada panas dan hujan sahaja.

Kerana kandang yang cantik tidak menjamin kambing didalamnya akan besar dan sihat. Tapi jika anda mempunyai modal yang mencukupi, pembinaan kandang yang baik merupakan pelaburan yang baik untuk anda.

Contoh kandang menggunakan kayu-kayu terbuang untuk memulakan projek ternakan kambing.

Ciri-ciri kandang kambing yang baik.

  • Sistem pengudaraan yang baik bagi merendahkan suhu dalam kandang.
  • Kedudukan kandang yang membenarkan cahaya matahari memasuki kandang. Bertujuan untuk merendahkan kelembapan dalam kandang.
  • Sistem perparitan yang baik di sekeliling kandang.
  • Terlindung daripada angin kencang, hujan dan panas.
  • Najis mudah dibersihkan dan dikumpulkan.
  • Lantai yang mengikut piawaian untuk mengelakkan kambing terseliuh.
  • Ruangan makan dan minum yang mencukupi.

Di atas ini merupakan ringkasan daripada ciri-ciri kandang kambing yang perlu dibina. Untuk huraian lebih terperinci, anda boleh baca di pautan di bawah ini.

Mesti baca: Ciri kandang kambing atas tanah yang perlu diutamakan.

Untuk pembinaan pagar pula, pagar yang terbaik adalah daripada konkrik. Tapi ada juga penternak yang menggunakan batang pokok dalam mengurangkan kos. Ianya bergantung kepada kretiviti dan modal seseorang penternak.

Sumber makanan bagi seekor kambing terbahagi kepada dua. Iaitu sumber makanan utama dan makanan tambahan.

Makanan utama seekor kambing adalah tumbuhan hijau seperti rumput. Rumput mencukupi perlu diberikan kepada kambing-kambing ternakan bagi menjamin tumbesaran mereka.

Seorang penternak biasanya akan menanam rumput mereka sendiri bagi menjamin mutu makanan kambing mereka. Antara rumput yang saya syorkan kepada penternak untuk ditanam adalah rumput Napier.

Rumput Napier ini memang sesuai dijadikan makanan kambing kerana ianya dapat tumbuh dan membesar dengan cepat. Walaupun di kawasan yang kecil, rumput ini dapat tumbuh dengan kadar rapat dan tebal.

Rumput Napier yang mudah tumbuh di kesemua tempat.

Mesti baca: Makanan selain rumput untuk menggemukkan kambing.

Makanan tambahan pula perlu diberikan kepada kambing supaya membantu tumbesaran. Makanan tambahan ini lebih dikenali sebagai pallet dikalangan penternak-penternak kambing.

Adakah pallet ini wajib diberikan kepada kambing?

Sudah tentu. Hal ini disebabkan kandungan pallet diadun khas dengan nutrisi-nutrisi yang penting diperlukan bagi setiap ekor kambing. Walaupun modal pallet ternak kambing ini agak tinggi, ianya berbaloi kerana kambing yang diberikan pallet ini akan kelihatan gemuk dan sihat.

Modal baka ternak kambing ini berlainan mengikut jenis-jenis kambing. Kambing yang biasa diternak di negara kita adalah jenis Boer, Jamnapari, Katjang, Saneen dan Anglo Nubian.

Kambing-kambing jenis ini diternak untuk diperoleh daging atau susu. Jika untuk mendapat daging, kambing jenis Boer lebih sesuai. Dan sekiranya diternak untuk diperoleh susu, kambing jenis Saneen lebih bersesuaian.

Kambing Katjang yang diternak untuk mendapatkan daging.
Kambing Saneen yang diternak untuk mendapatkan susu.
Kambing Nubian merupakan baka dwi-fungsi yang diternak untuk mendapatkan daging dan susu.

Artikel Berkaitan: Jenis-Jenis Baka Kambing Yang Sesuai Diternak di Negara Kita.

Harganya kambing pula dalam RM600 sehingga RM1,500, bergantung kepada jenis baka dan umur. Baka yang berumur enam bulan sudah tentu lagi murah daripada baka umur dua tahun bukan.

Ciri-ciri baka kambing yang baik.

Baka jantan:

  • Berbadan besar dan berat badan melebihi 25kg.
  • Berkepala sederhana, bertanduk dan punyai mata bersinar.
  • Leher dan bahu tidak panjang.
  • Kaki belakang lurus, tegap, lebar dan berdaging penuh.
  • Tapak kaki rata dan boleh berdiri tegap.
  • Tabiat cergas serta gagah.
  • Sihat dan tiada penyakit berjangkit.

Baka betina:

  • Berbadan sedang dan berat tidak kurang daripada 20kg
  • Leher jinjang, bahu kecil dan sempit.
  • Kaki hadapan tegap dan kukuh dan selari antara kedua-dua.
  • Sihat dan tiada penyakit berjangkit.
  • Cergas serta subur.

Dalam menternak kambing, penyakit itu sudah menjadi perkara biasa bagi penternak. Bagi membendung masalah penyakit ini, ubat-ubatan perlu disediakan sebagai langkah awal rawatan.

Ubat luka.

Ubat luka yang boleh digunakan adalah iodin. Iodin ini hanya sesuai untuk luka-luka luaran sahaja dan tidak sesuai untuk luka berulat.

Ubat untuk luka berulat.

Saya syorkan anda untuk guna Prosanex. Bagi saya Prosanex ini lebih berkesan dalam mengubati luka berulat. Tambahan pula ianya jenis semburan, maka lebih mudah digunakan. Harga dalam RM39 sebotol.

Prosanex yang sesuai untuk merawat luka berulat.

Antibiotik.

Antibiotik merupakan asas bagi penyakit yang berkaitan dengan selsema ataupun boleh digunakan ketika kambing kelihatan kurang cergas, kurang selera makan, ataupun kemurungan. Antibiotik yang saya syorkan adalah Terramycin.

Terramycin sebagai antibiotik untuk kambing.

Ubat penyakit kecacingan, kutu dan kurap.

Penyakit ini merupakan penyakit tiga serangkai yang kerap menyerang kambing. Anda boleh menggunakan Cidectin (jenis sapu) untuk merawat penyakit jenis ini. Cara penggunaan hanya perlu disapu di celah-celah bulu ternakan.

Kaedah Rawatan Penyakit Kambing

Sila isikan nama dan emel anda untuk download buku ini secara percuma.

Blank Form (#3)

Kesimpulan.

Modal ternak kambing bergantung kepada kuantiti ternakan yang anda ingin hasilkan. Modal menternak 10 ekor kambing mesti lagi rendah daripada menternak 100 ekor kambing bukan? 

Sekiranya anda ingin mendalami lebih lanjut selok-belok dunia penternakan kambing, saya amat syorkan anda untuk baca perkongsian seorang penternak kambing ini.

Segala rahsia dalam menternak kambing boleh diperoleh daripada perkongsian beliau itu. Sekian perkongsian tentang modal ternak kambing.

Sekiranya anda ada persoalan, boleh komen di ruangan di bawah.

85 thoughts on “Modal Ternak Kambing Untuk Penternak Baru Bermula”

  1. Assalamualaikum.

    Saya warganegara spore dan ingin menceburi bidang ternak Kambing di Malaysia.

    Bagaimana caranya?

    Apakah ada badan2 kooperasi penternakan Kambing yg boleh saya menjadi ahli?

    Terima kaseh.

  2. Terdapatkah peluang melaburkan dalam industri ini ?

    Saya tidak rasa saya mampu untuk mengusahakan sendirinya kerana komitmen lain lain.

    1. Itu kena berurusan dengan penternak yang berdekatan dengan kawasan tuan. Nasihat saya, lebih baik ternak sendiri daripada melabur.

      Ternak sendiri tuan boleh dapat ilmu daripada pengalaman. Melabur ni besar risikonya. Sebab kambing yang kita jaga sendiri tak sama dengan orang lain jaga.

  3. Kawan saya ada 17 ekor kambing,mempunyai tanah seluas 4 ekar tidak berpagar,,Saya mahu membantunya menjadi perternak yang berjaya,ternak kambing,angsa,itik..Saya akan pergi ke agro bank mintak suntikan nasihat dan modal..saya akan buktikan dan mahukan kawan saya ini jauh terus melangkah ke hadapan….Mohon doakan agar segala urusan kami dipermudahkan oleh Nya…Aamiin Aamiin Ya Rabbul Alamin.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *